KUALA LUMPUR – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) mengatasi dilema yang didakwa dihadapi kira-kira 640 pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Kiara kerana diancam pencemaran sisa buangan kilang.
Presidennya, S.M.Mohamed Idris mendakwa, pihaknya berasa kesal kerana kejadian itu sudah lama menjejaskan keselesaan serta kesihatan pelajar sekolah berkenaan tetapi tiada tindakan berkesan dilakukan oleh pihak berkuasa untuk menanganinya.
“Pencemaran bau busuk dari kolam takungan sisa buangan kilang yang berlaku di kawasan berkenaan menyebabkan pelajar sekolah berkenaan berasa loya, pening kepala, mengalami muntah-muntah dan demam.
“SAM meminta JAS dan MPSPK bukan saja memantau kolam sisa buangan itu dengan lebih kerap malah kilang yang menyalurkan sisa buangan ke dalam kolam iotu juga perlu disiasat dan dikaji jenis bahan buangan yang mereka gunakan,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
S.M.Mohamed berkata, mana-mana kilang yang didapati melanggar peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 perlu dikenakan tindakan tegas supaya kejadian serupa tidak berulang.
Beliau turut melahirkan kebimbangan bau busuk yang mencemarkan udara di kawasan itu mengandungi bahan kimia serta toksik yang tinggi yang boleh mengancam kesihatan pelajar serta penduduk dalam jangka masa panjang.
Justeru, katanya, SAM akan menghantar surat kepada jabatan berkaitan dan kerajaan Kedah bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kejadian tu dan tindakan yang telah diambil bagi mengatasi masalah itu.
“Bagi meredakan kebimbangan ibu bapa dan orang ramai, SAM berharap JAS, MPSPK dan Jabatan Kesihatan mendedahkan kepada umum hasil kajian mengenai tahap pencemaran tersebut dan kesannya ke atas alam sekitar serta kesihatan pelajar sekolah terlibat,” katanya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar